DIA BERJALAN SUPAYA ORANG LAIN DAPAT BERLARI

Actions
https://www.mindef.gov.sg/web/wcm/connect/pioneer/fba60c15-4386-4f99-8162-f15280aa2bd0/08mar24_news1_photo1.JPG?MOD=AJPERES&CACHEID=ROOTWORKSPACE.Z18_1QK41482LG0G10Q8NM8IUA1051-fba60c15-4386-4f99-8162-f15280aa2bd0-oVmLrq7 /web/wcm/connect/pioneer/fba60c15-4386-4f99-8162-f15280aa2bd0/08mar24_news1_photo1.JPG?MOD=AJPERES&CACHEID=ROOTWORKSPACE.Z18_1QK41482LG0G10Q8NM8IUA1051-fba60c15-4386-4f99-8162-f15280aa2bd0-oVmLrq7 /web/portal/pioneer/article/feature-article-detail/milestones/2024-Q1/malay/08mar24_news1_ms
08mar24_news1_ms /web/portal/pioneer/article/feature-article-detail/milestones/2024-Q1/malay/08mar24_news1_ms
08 Mar 2024 | MILESTONES

DIA BERJALAN SUPAYA ORANG LAIN DAPAT BERLARI

Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, kita meneliti 10 anggota tentera wanita menginspirasikan yang telah tampil ke hadapan agar menjadi wanita yang pertama dalam bidang masing-masing.

// KISAH OLEH JOSHUA DE SOUZA / FOTO OLEH PIONEER PHOTOGRAPHERS

English 华文
English 华文

Sesetengah orang mungkin menyangka bahawa angkatan tentera adalah hanya untuk lelaki tetapi sebenarnya, wanita telah lama menjadi sebahagian daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) seawal 1967 – iaitu tahun kelompok pertama anggota Perkhidmatan Negara direkrut.  

SAF telah disertai kelompok pegawai wanita yang pertama ketika itu, iaitu seramai tiga orang. Selepas bertahun-tahun ini, bilangan wanita dalam angkatan bersenjata telah bertumbuh secara progresif. Pada 2022, menteri pertahanan Dr. Ng Eng Hen berkata bahawa lebih daripada 1,600 wanita berkhidmat dalam SAF, iaitu terdiri daripada kira-kira lapan peratus Anggota Tetap.

Kita meneliti 10 pelopor wanita dalam SAF: wanita yang telah menempa kejayaan dan menginspirasikan wanita lain agar bangkit menyahut cabaran dan meninggalkan kesan dalam angkatan tentera.

1979: Pegawai Pemerintah wanita pertama dalam SAF

MEJ (Bersara) Agnes Fong Sock Har

Pelopor dalam angkatan bersenjata: (dari kiri) MEJ (Bersara) Fong, KPT (Bersara) Tan dan KPT (Bersara) Koh merupakan wanita pertama yang tampil untuk menjadi pegawai wanita dalam SAF.

Mejar (MEJ) (Bersara) Agnes Fong Sock Har yang merupakan kerani dalam Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyahut panggilan untuk menyertai Kursus Sekolah Pegawai Kadet Tentera (Wanita) Angkatan Pertahanan Rakyat Ke-2 pada 1967.

Dia merupakan salah seorang daripada kelompok pertama anggota tentera wanita dalam SAF, bersama dengan Kapten (KPT) (Bersara) Nancy Tan Soo Keow dan KPT (Bersara) Patricia Koh Kim Toh. Pada 1 Sep tahun yang sama, tiga pelopor ini menjadi pegawai yang terlatih sepenuhnya.

MEJ (Bersara) Fong (kanan) memeriksa bahagian enjin bersama anak buahnya. Sebagai CO di Pangkalan Bekalan Udara Pertama, dia tertumpu pada usaha mengoptimumkan dan memastikan sokongan logistik yang teguh untuk operasi.

Dua belas tahun kemudian, MEJ (Bersara) Fong mengambil alih Pangkalan Bekalan Udara Pertama sebagai Pegawai Pemerintah (CO) pada 1 Jul 1979.

Berkenaan dengan peristiwa penting yang dicapai sebagai CO wanita pertama dalam SAF, MEJ (Bersara) Fong berkata: "Saya akan cuba bekerja keras untuk menyahut cabaran tersebut. Lagipun, bukan hanya prospek masa depan saya yang menjadi risiko di sini. Ini kali pertama seorang wanita diberi ujian yang sungguh besar."

Jelas sekali dia telah lulus ujian tersebut, kerana lebih ramai wanita telah berjaya menaiki pangkat selepas itu.

1979: Wanita pertama yang layak sebagai Juruterbang RSAF

LTC (Bersara) Koh Chai Hong

LTC (Bersara) Koh telah meningkatkan taraf wanita sehingga menjulang tinggi apabila dia menjadi wanita pertama dalam SAF yang memperoleh lencana sayap juruterbang, serta tamat pengajian sebagai pelajar terbaik dalam kelasnya.

Leftenan Kolonel (LTC) (Bersara) Koh Chai Hong menyertai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada 1978, apabila organisasi tersebut mula merekrut wanita sebagai juruterbang, pengawal trafik udara dan pengawal pertahanan udara.

LTC (Bersara) Koh (kiri) semasa zaman muda berjalan bersama rakan kadet Tan Bee Har – mereka merupakan dua daripada lima orang pelatih wanita cemerlang yang dipilih untuk kursus juruterbang.

Setelah tamat pengajian daripada Sekolah Latihan Penerbangan pada 1979, LTC (Bersara) Koh telah dianugerahkan pelbagai piala kerana mendapat pencapaian terbaik dalam kelas ketika Fasa Latihan Asas dan Lanjutan, serta dalam Aerobatik. Lebih penting lagi, dia menjadi juruterbang RSAF wanita yang pertama.

LTC (Bersara) Koh menerbangkan pesawat pengangkut C-130 Hercules, serta pesawat latihan Marchetti SF260 dan Marchetti S211.

Semasa zaman khidmatnya dalam RSAF, dia menumpukan pengetahuan dan kemahirannya terhadap melatih dan membangunkan generasi juruterbang yang seterusnya. Bermula sebagai jurulatih penerbangan, seterusnya menjadi Komander Penerbangan wanita yang pertama dan kemudian menjadi Komander Skuadron bagi Skuadron Standard dalam Sekolah Latihan Penerbangan. Dia juga berkhidmat sebagai Komander Sayap bagi Sayap Penerbangan dalam Sekolah Angkatan Udara sebelum bersara pada 2005.

PS. Orang yang gemar membuat pencapaian terlampau ini pernah menjadi peluncur air negara, malah pernah memenangi pingat dalam Sukan Asia Tenggara 1987!

2000: Penyelam tentera laut wanita yang pertama

MEJ (Bersara) Esther Tan Cheng Yin

Kerjaya MEJ (Bersara) Tan adalah seolah-olah suatu jalan cerita filem, iaitu daripada menjadi wanita pertama yang layak menyertai golongan elit NDU, sehinggalah mengambil bahagian dalam operasi cegah lanun di Teluk Aden. [Foto: MINDEF]

Dengan tinggi yang hanya 1.55m, MEJ (Bersara) Esther Tan mungkin tidak memberi penampilan sebagai orang yang tahan lasak apabila dipandang sekali imbas, tetapi dia telah membuktikan bahawa kekuatan dan keazaman untuk berjaya dalam apa-apa cabaran berpunca daripada jiwa.

MEJ (Bersara) Tan telah menyertai Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) pada 1995, membuat pengajian dalam ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Teknologi Nanyang melalui program biasiswa Angkatan Laut.

MEJ (Bersara) Tan (kanan) berinteraksi dengan pegawai antarabangsa di atas RSS Tenacious. Dia merupakan sebahagian daripada kumpulan petugas yang beroperasi di bawah pasukan petugas cegah lanun berbilang negara di Teluk Aden pada 2014.

Pada 2000, dia memohon untuk menyertai Unit Penyelam Tentera Laut (NDU), mencari hala tuju yang berbeza dan berhasrat mencabar batasan dirinya.

Digelar GI Jane Singapura oleh pihak media, penyelam tentera laut wanita pertama dalam SAF telah mengkhusus dalam operasi pencarian dan penyelamat serta pelupusan kelengkapan bahan letupan.

Kerjaya MEJ (Bersara) Tan dalam Angkatan Laut juga membuatkan dia terlibat dalam pengerahan selama tiga bulan di atas frigat RSS Tenacious untuk menentang lanun di Teluk Aden pada 2014.

2003: Juruterbang pejuang wanita yang pertama dalam RSAF

MEJ (Bersara) Khoo Teh Lynn

Membuat impian menjadi kenyataan hidupnya: Cinta MEJ (Bersara) Khoo terhadap pesawat pejuang telah memberi dia kedudukan dalam kokpit F-16 dan juga buku sejarah sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama dalam RSAF.

Cinta MEJ (Bersara) Khoo Teh Lynn terhadap bidang penerbangan telah bermula sebelum dia menyertai RSAF pada 2000 – peminat bidang penerbangan ini menyertai Kelab Penerbangan Belia Singapura ketika tahun pertamanya di Raffles Junior College.

Minatnya untuk menerbangkan "pesawat berprestasi tinggi" yang terbaik dalam RSAF pada ketika itu bermakna azamnya tertumpu terhadap menerbangkan pesawat pejuang F-16.

Ini bukan matlamat yang mudah, kerana juruterbang pejuang mesti mempunyai kecergasan fizikal dan mental untuk beroperasi pada maksimum sebanyak 9G (sembilan kali ganda daya graviti), serta pengetahuan dan refleks yang bagus untuk membuat keputusan kritikal dalam sekelip mata di kokpit.

Pada 2003, MEJ (Bersara) Khoo telah membuktikan kepada diri sendiri dan wanita lain di Singapura bahawa menjadi juruterbang pejuang tidak terbatas oleh jantina, apabila dia memperoleh lencana Sayap Pejuangnya di Perancis.

"Saya tidak rasa ada perbezaan (daripada juruterbang lelaki). Dalam organisasi profesional ini, perkara paling penting sekali dalam skuadron pejuang adalah bahawa anda seorang juruterbang pejuang. Tiada gelaran berjantina dalam jawatan ini."

- MEJ (Bersara) Khoo Teh Lynn, juruterbang pejuang wanita pertama dalam RSAF

2005: Kolonel wanita pertama dalam SAF

KOL (Bersara) Karen Tan Puay Kiow

KOL (Bersara) Tan telah memecahkan had atasan apabila dia mencapai pangkat Kolonel pada 2005.

Apabila Kolonel (KOL) (Bersara) Karen Tan Puay Kiow menyertai SAF pada 1981, dia tidak sangka sejauh mana dia dapat berjaya. Dia telah berusaha sedaya upaya – dan usaha itu tidak gagal untuk menerima pengiktirafan.

Menaiki pelbagai pangkat dalam SAF, KOL (Bersara) Tan telah mula menjawat kedudukan sebagai Komander Pangkalan Tenaga Manusia Pusat (CMPB) pada 2005, serta menerima kenaikan pangkat kepada Kolonel.

Kepentingan keluarga: KOL (Bersara) Tan dikelilingi keluarganya pada hari kenaikan pangkatnya, menyaksikan dia membuat sejarah sebagai Kolonel wanita pertama dalam SAF.

"Saya seorang yang ramah mesra. Saya percaya terhadap kepimpinan melalui teladan, terhadap keperluan usaha untuk memperoleh rasa hormat dan bukannya mengarahkan tanda hormat melalui pangkat… Apabila saya menyertai SAF pada 1981, saya tidak tahu betapa tingginya kejayaan yang dapat saya capai. Saya hanya dapat berusaha sedaya upaya."

- KOL (Bersara) Karen Tan Puay Kiow, Kolonel wanita pertama dalam SAF

2013: CO frigat wanita yang pertama

KOL Jerica Goh

Hidup di laut lepas: KOL Jerica Goh telah meninggalkan tanda pencapaiannya dalam RSN sebagai wanita pertama yang menjadi komander frigat.

KOL Jerica Goh mengambil alih perintah RSS Supreme pada 2013, menjadi CO wanita pertama bagi sebuah frigat dalam SAF.

Dia telah berkhidmat dalam Angkatan Laut selama 20 tahun pada ketika itu, dan dalam tempoh itu dia telah dikerahkan ke Teluk Aden sebanyak dua kali untuk mewakili penyertaan Singapura dalam usaha cegah lanun antarabangsa.

Sebagai CO untuk RSS Supreme, dia mengemudi frigat tersebut, seiring dengan kapal RSN dan pesawat RSAF lain, dalam operasi pencarian kerjasama berbilang negara untuk pesawat Indonesia AirAsia QZ8501 yang hilang pada 2014.

Satu lagi pencapaian kali pertama: Pada 2016, KOL Goh (kiri) menjadi Kolonel wanita pertama dalam Angkatan Laut.

Tiga tahun selepas mengambil alih pemerintahan RSS Supreme, dia menjadi Ketua Jabatan Latihan Angkatan Laut dalam RSN, serta dinaikkan pangkat kepada Kolonel. Dia menjadi Kolonel wanita pertama dalam RSN.

2014: Singa Merah wanita pertama

2WO Shirley Ng

2WO Ng memberi tabik kepada khalayak penonton selepas terjunan NDP 2022, yang melibatkan pasukan Singa Merah terbesar dalam sejarah NDP.

Pegawai Waran Kedua (2WO) Shirley Ng telah memulakan perjalanan SAF pada 1998 ketika berumur 20 tahun, menyertai khidmat sebagai pemasang payung terjun di Pusat Sokongan Taktikal Operasi Khas. Peranannya adalah untuk memastikan pemasangan dan penyelenggaraan payung terjun untuk unit Komando – suatu tugas yang memerlukan tahap ketekunan yang tinggi demi menjamin keselamatan.

Pada 1999, dia membuat terjunan jatuh bebas menggunakan payung terjun pertama yang dia pasang sebagai pemasang payung terjun yang bertauliah. Ini menandakan permulaannya menjadi sebahagian daripada pasukan payung terjun elit SAF, yang lebih dikenali sebagai Singa Merah.

Dipilih pada 2012, 2WO Ng menjadi wanita pertama yang menyertai pasukan. Semasa latihan, dia terpaksa mengikuti rakan sejawat lelaki sambil membawa beg payung terjun seberat 15kg (menurut laporan, lebih 25 peratus daripada berat badannya pada ketika itu).

Kali kedua lebih berjaya: Terjunan sulungnya pada 2014 merupakan hasil persediaan selama satu tahun, selepas terjunan Singa Merah NDP 2013 telah dibatalkan atas tujuan keselamatan.

Dia membuat terjunan sulung bersama Singa Merah pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2014, lewat setahun daripada dirancang kerana cuaca yang buruk. Dia disambut dengan sorakan lantang daripada orang ramai selepas mendarat.

2WO Ng kembali dalam NDP 2020, mendarat di kawasan tengah Singapura ketika pandemik COVID-19 sebagai tabik kepada pekerja baris hadapan, dan NDP 2022.

2018: Ketua Pegawai Waran wanita yang pertama

CWO (Bersara) Jennifer Tan

Warisan: CWO (Bersara) Tan telah diinspirasikan untuk masuk tentera oleh bapanya, yang merupakan Anggota Polis Tentera dalam Unit Provost SAF ketika itu.

Ketua Pegawai Waran (CWO) (Bersara) Jennifer Tan telah menyertai SAF sebagai pentadbir sumber manusia pada 1984. Pada 1988, dua tahun selepas SAF membuka peranan tempur kepada wanita, dia telah memohon dan menyertai gelombang baharu anggota tentera wanita dalam kerjaya tempur.

Dilatih sehingga sempurna: Pengalaman selama bertahun-tahun sebagai sarjan mejar bermakna bahawa mantan-MWO Tan amat layak mengendali peranan NDP RSM pada 2011.

Pada 2011, mantan-Pegawai Waran Master (MWO) Tan telah membuat pencapaian penting apabila menjadi Sarjan Mejar Rejimen (RSM) wanita yang pertama bagi Perarakan Hari Kebangsaan.

Menaiki pelbagai pangkat, dia menjadi Ketua Pegawai Waran wanita yang pertama pada 2018, memegang jawatan CO bagi Pusat Latihan Tempur Armor.

Perjalanannya yang merintis itu menjadi inspirasi bukan hanya kepada anak lelaki kembarnya yang turut menyertai SAF, malah begitu juga bagi ramai anggota tentera wanita lain.

Keluarga yang berkhidmat sama: Pada 2018, CWO Tan dan dua anak lelaki kembarnya menerima kenaikan pangkat pada hari yang sama.

"Kita mendukung standard. Tidak sepatutnya ada apa-apa perbezaan dari segi jangkaan antara jantina… Dengan kedudukan saya, saya harap dapat menginspirasikan lebih ramai wanita muda, dan lelaki, untuk berminat menyertai angkatan bersenjata."

- CWO (Bersara) Jennifer Tan, Ketua Pegawai Waran wanita yang pertama

2022: Komander skuadron pejuang wanita yang pertama

SLTC Lee Mei Yi

Daripada satu generasi kepada generasi seterusnya: SLTC Lee – yang telah menerima inspirasi oleh anggota tentera wanita untuk menyertai RSAF – juga telah menjadi inspirasi bagi wanita muda lain.

Berbakti semula kepada negara adalah sesuatu yang dipercayai oleh Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Lee Mei Yi sejak zaman kecil.

Ketika menghadiri pameran kerjaya semasa tahun terakhir kolej rendah, dia terjumpa pelbagai alumni yang telah menyertai SAF, dan diinspirasikan oleh semangat mereka untuk turut mencari kerjaya dalam angkatan tentera.

Tertarik dengan RSAF kerana minatnya terhadap bidang penerbangan, dia berjaya memperoleh lencana sayap sebagai juruterbang pejuang F-16.

Meraikan jubli emas Singapura: SLTC Lee terbang dalam formasi "50" penerbangan dekat ketika NDP 2015.

Pada 2015, SLTC Lee menjadi juruterbang pejuang wanita yang pertama sekali mengambil bahagian dalam pertunjukan udara NDP. Dia mengambil bahagian dalam formasi "50" penerbangan dekat, yang meraikan Jubli Emas negara dan merupakan bahagian udara yang terbesar dan paling terperinci dalam sejarah NDP pada ketika itu.

Mantan-LTC Lee (kanan) menerima Simbol Perintah daripada Pegawai Pemerintah 140 SQN yang tamat tempohnya. Dia mengambil alih perintah skuadron pejuang F-16 pada 17 Jan 2022.

Sembilan belas tahun selepas MEJ Khoo menjadi juruterbang pejuang wanita pertama, SLTC Lee menjadi komander skuadron pejuang wanita yang pertama apabila dia mengambil alih perintah Skuadron (SQN) 140 pada 2022. Pada tahun yang sama, dia kemudiannya mengetuai skuadron pertunjukan udara di NDP.

Walaupun dia tidak pernah membayangkan dirinya mencapai peristiwa penting ini, dia bersyukur terhadap teladan yang berkhidmat sebelumnya dan menunjukkan kemungkinan yang dapat dicapai.

"Sebagai pelatih juruterbang, kami memandang tinggi kepada panglima kami dan menyaksikan pengaruh positif mereka terhadap golongan lelaki dan wanita di bawah jagaan mereka. Saya ingin mengikut jejak langkah mereka."

- SLTC Lee Mei Yi, komander skuadron pejuang wanita yang pertama dalam SAF

2023: Renjer wanita pertama

KPT Yap Hui Jun

Tiada apa yang mustahil: KPT Yap Hui Jun telah menyelesaikan kursus yang sering dianggap paling sukar dalam SAF. Dia kini dalam kalangan golongan elit yang layak memakai lencana Renjer yang didambakan oleh anggota lain.

Misi berturut-turut selama berminggu-minggu sambil menghadapi kekurangan makanan dan tidur. Membawa beban kelengkapan tempur dengan berat lebih 30kg, termasuk kelengkapan seperti senjata Anti-Kereta Kebal, Anti-Pintu Mudah Alih (lebih lazim dikenali sebagai MATADOR) dan Mesingan Kegunaan Am (atau GPMG).

Untuk membuktikan dirinya layak menjadi Renjer, KPT Yap Hui Jun telah mengharungi operasi sama seperti anggota lelaki sambil membawa beban yang sama.

Dia juga perlu mencukur rambut kepala demi tujuan kebersihan – pengorbanan rambut panjangnya merupakan lambang kehendaknya yang lebih mendalam untuk menyelesaikan kursus yang dianggap paling sukar dalam SAF.

Jika anda tidak berjaya pada mulanya: Menamatkan latihan kursus Renjer Ke-50 pada 2023 merupakan pengalaman yang lebih manis bagi KPT Yap kerana kekecewaan setelah kegagalan cubaan pertamanya.

Perjalanan KPT Yap tidak bebas daripada halangan, kerana dia asalnya gagal untuk lulus fasa kedua dalam kursus tiga bahagian selama 65 hari itu.

Namun, komitmen dia untuk mengatasi cabaran terbukti teguh, dan dia menyertai semula kursus tersebut.

Pada kali kedua ini, Pegawai Risikan Tentera Darat ini membuat persediaan bukan hanya dari segi kecergasan, tetapi juga dalam aspek kemahiran perancangan dan pemahaman taktik unit kecil. Ini adalah kerana kekuatan fizikal bukan ciri takrifan seseorang Renjer – sifat kerjasama berpasukan dan keupayaan untuk mempelajari serta menyokong satu sama lain juga merupakan kualiti penting yang perlu dimiliki oleh seorang Renjer.

Pada Oktober 2023, KPT Yap tamat latihan sebagai Renjer wanita pertama dalam SAF.

Darah, peluh, rasa hormat: KPT Yap telah memikul berat badannya sendiri, termasuk GPMG, ketika kursus Renjer yang dahsyat itu.

"Anda harus melakukan perkara yang sama seperti pelatih lelaki - perbarisan tempur 20km masih tetap perbarisan tempur 20km. Anda berjalan sama jauh, membawa bebanan yang sama berat."

- KPT Yap Hui Jun, wanita pertama yang menyelesaikan kursus Renjer dalam SAF

Tags